Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Kasih sayang yang mendalam Chee Hoi Lan kepada Rohana Abdullah adalah sesuatu yang luar biasa dan sangat disanjung.

Ia meninggalkan kesan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tun Hanif Omar yang mengakui tidak pernah menemui kes seumpama itu.

Katanya, dia mengagumi kesungguhan Hoi Lan menjaga dan memelihara gadis itu sebagai Muslim.

"Saya tak pernah jumpa kes yang macam ini, seorang bukan Islam menjaga budak Islam selama 22 tahun. Ini luar biasa.

"Sepatutnya dengan dokumen yang dia ada, dia layak mendapat kerakyatan kerana semua maklumat sudah ada, sijil kelahiran juga ada," katanya ketika melawat Rohana dan Hoi Lan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes itu dekat di hatinya kerana mempunyai saudara mara terdiri daripada kaum Cina.

TUN Hanif Omar (dua kiri) berkunjung ke rumah Chee Hoi Lan. FOTO Amiruddin Sahib
TUN Hanif Omar (dua kiri) berkunjung ke rumah Chee Hoi Lan. FOTO Amiruddin Sahib

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, MPM juga bersedia membantu Rohana untuk melanjutkan pelajaran ke institusi swasta sekiranya dia tidak mendapat ktaraf kerakyatan seperti sepatutnya.

"Budak dapat 8A kata tak boleh bagi sebab tak ada sijil sah. Sijil jabatan kerajaan itu, siapa yang tandatangan. Tinggal lagi tidak ada nama bapa dia," katanya.

Beliau berkata, apa yang berlaku adalah karenah birokrasi dan berharap pihak berkuasa akan memastikan masa depan Rohana dijaga dengan baik.

Menurutnya, MPM berharap agar pihak berwajib melakukan sesuatu bagi menyelesaikan isu dihadapi Rohana berdasarkan dokumen yang ada padanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 6:09 PM