Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Hubungan akrab dan kasih sayang yang tiada bandingan antara Chee Hoi Lan dan Rohana Abdullah boleh dijadikan contoh naratif perpaduan dalam konteks semasa negara.

Timbalan Menteri Perpaduan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia akan diangkat sebagai contoh Keluarga Malaysia yang berdasarkan kisah sebenar.

Selain itu katanya, ia juga boleh menjadi contoh betapa perbezaan agama dan kaum tidak menghalang rasa hormat menghormati antara satu sama lain.

Menurutnya, jasa Hoi Lan, 83, perlu diiktiraf kerana berjasa kepada Rohana dan ibunya selain memastikan masa depan gadis itu terbela.

"Dari segi merit, dia layak, bukan kerana dia Melayu, tapi dia layak.

"Saya harap kementerian yang terbabit boleh memberi kerjasama penuh kepada Mak Cik Hoi Lan dan adik Rohana untuk masa depannya," katanya dalam kunjungan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tun Hanif Omar ke kediaman warga emas itu, hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau tersentuh membaca kisah gadis berkenaan dan kagum dengan kesungguhan Rohana yang tidak berputus asa untuk mendapatkan status kerakyatan.

"Terima kasih kepada apa yang Mak Cik Hoi Lan buat. Inilah tanda muhibah yang perlu kita ceritakan kepada generasi lain," katanya.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika berkunjung ke rumah Chee Hoi Lan hari ini. FOTO AMIRUDIN SAHIB
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika berkunjung ke rumah Chee Hoi Lan hari ini. FOTO AMIRUDIN SAHIB

Dalam pertemuan itu, beliau juga berpeluang meneliti sijil pencapaian milik Rohana ketika bersekolah sebelum ini.

Sementara itu, Rohana berkata, dia terharu dengan kedatangan kedua-dua kenamaan yang mengambil berat mengenai dirinya dan Laoshi.

"Terima kasih banyak kerana membantu. Saya hargainya," katanya.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan kisah hidup Hoi Lan yang menjaga Rohana sejak berusia dua bulan sehingga kini.

Gadis yang bekerja sebagai pengajar di sebuah pusat tuisyen itu bergelut untuk mendapatkan taraf kerakyatan bagi membolehkan dia meneruskan hidup pada masa depan.

Kisah itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menghubungi Rohana dan ingin membantu gadis terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 6:05 PM