GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan negeri mengesan terdapat beberapa kes penjualan sijil vaksinasi palsu membabitkan doktor di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, kes itu kini sedang dalam siasatan polis dan beliau tidak dapat mendedahkan sama ada ia membabitkan doktor di pusat kesihatan swasta atau kerajaan.

"Kes ini masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, jumlah sijil vaksinasi palsu yang sudah dijual pun kita tak boleh dedahkan tetapi ia tidak terlalu banyak.

"Kita juga masih siasat sama ada kes ini ada kaitan dengan kes pembelian sijil vaksinasi palsu di Terengganu... Mungkin ada kaitan, kita akan siasat," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat EXCO di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Pada 8 Januari, polis Terengganu menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu di Marang, Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dilapor berkata, doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan terbabit.

Dalam perkembangan sama, Dr Mohd Hayati berkata, memaklumkan Maktab Mahmud Tobiar, Pendang, di sini, ditutup selama tujuh hari selepas 99 pelajar asrama disahkan positif Covid-19 semalam.

Katanya, dua pelajar maktab itu kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) manakala selebihnya dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Dewan Wawasan, Jitra.

"Setakat ini, jangkitan hanya membabitkan pelajar dan tidak membabitkan guru namun berkemungkinan kes akan bertambah sekiranya keputusan ujian saringan diperoleh nanti.

"Terdapat juga pelajar yang sedang kuarantin di asrama puteri manakala pelajar lain yang negatif dibenarkan pulang ke rumah," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat tiga kes kluster baharu dikesan di Kedah membabitkan tiga sekolah asrama di daerah Pendang, Kuala Muda dan Kubang Pasu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan jangkitan Covid-19 membabitkan pelajar di tiga sekolah berkenaan didapati masih dalam keadaan terkawal.

Semalam, seramai 99 pelajar asrama Maktab Mahmud, Tobiar Pendang dan 33 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda, Sungai Petani dilaporkan positif Covid-19.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut menyatakan kebimbangan mengenai kes Covid-19 di negeri ini yang meningkat mendadak semalam akibat kluster di sekolah.

"Saya harap ibu bapa yang mempunyai anak yang bergejala sama ada batuk atau demam tidak menghantar anak mereka ke sekolah bagi mengelak penularan di institusi pendidikan," katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 4:23 PM