Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penjualan sijil vaksinasi palsu diminta tampil membantu polis membendung kegiatan itu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, walaupun sehingga kini tiada kes dikesan di Sarawak, pihaknya sentiasa membuat pemantauan rapi.

"Agak sukar bagi kami mengesan kegiatan itu tanpa maklumat awam.

"Justeru, sesiapa yang ada maklumat mengenainya, lapor kepada polis," katanya dihubungi hari ini.

Setakat ini, polis menerima laporan kes pusat perubatan menjual sijil vaksinasi Covid-19 palsu di Selangor, Terengganu, Johor dan Kelantan.

Tujuh individu, termasuk pemilik sebuah klinik swasta di Gombak, Selangor, turut ditahan selepas disyaki mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 1:45 PM