Tapak premis pengumpulan kitar semula dan besi buruk di yang hampir dengan rumah penduduk. FOTO IHSAN SAM
Tapak premis pengumpulan kitar semula dan besi buruk di yang hampir dengan rumah penduduk. FOTO IHSAN SAM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Pejabat Tanah dan Daerah Seberang Perai Selatan dan pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap masalah yang timbul daripada aktiviti dari tapak premis pengumpulan kitar semula dan besi buruk di Kampung Lima Kongsi, Sungai Bakap, di sini.

Ia berikutan aktiviti itu yang menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk kampung dan taman perumahan berhampiran kawasan berkenaan.

Presiden SAM Meenakshi Raman berkata, sebilangan penduduk tempatan di kawasan itu kurang senang dengan aktiviti berkenaan terutama di bahagian pengumpulan dan pemprosesan besi buruk.

Katanya, jarak antara tapak premis berkenaan dengan kawasan penempatan hanya kira-kira 50 hingga 100 meter manakala yang paling hampir hanya belakang rumah penduduk sahaja.

"Penduduk mendakwa terganggu dengan bunyi bising hentakan dari tapak premis berkenaan yang kononnya dilakukan bagi mendapatkan besi di dalam bahan batuan konkrit.

"Aktiviti terbabit adakalanya berlarutan sehingga jam 8 malam setiap hari dan mengganggu ketenteraman penduduk khasnya kanak-kanak yang sedang belajar menerusi kelas dalam talian dan sebagainya," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Meenakshi berkata, selain bunyi bising mereka juga turut berhadapan dengan masalah debu dan habuk dari kenderaan yang kerap melalui jalan utama.

Bukan sahaja menyebabkan pencemaran udara, malah lori yang keluar masuk dengan kerap juga turut mengancam keselamatan penduduk.

"Masalah keadaan habuk dan debu yang berterbangan itu semakin serius ketika musim panas dan menyebabkan kebanyakan kediaman penduduk diselaputi debu pasir malah mereka juga khuatir dengan masalah kesihatan pada masa depan.

"SAM dimaklumkan bahawa aktiviti ini dijalankan di atas tanah persendirian, namun ia adalah tidak sesuai memandangkan terlalu hampir dengan kawasan penduduk," katanya lagi.

Sehubungan itu, SAM menggesa kepada semua pihak terbabit supaya komited dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang telus.

"SAM sudah mengetengahkan perkara itu kepada pihak MBSP namun sehingga kini belum menerima maklum balas mengenai tindakan yang diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 12:22 PM