Petugas kesihatan membantu wanita Orang Asli bersalin dalam bot di Tasik Banding, Gerik pada Sabtu lalu. Gambar kanan) Petugas kesihatan bersama bayi kembar yang dilahirkan. Foto Ihsan FB Jabatan Kesihatan Negeri Perak
Petugas kesihatan membantu wanita Orang Asli bersalin dalam bot di Tasik Banding, Gerik pada Sabtu lalu. Gambar kanan) Petugas kesihatan bersama bayi kembar yang dilahirkan. Foto Ihsan FB Jabatan Kesihatan Negeri Perak
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Wanita Orang Asli selamat melahirkan sepasang bayi kembar di Tasik Banding di Gerik ketika dalam perjalanan dengan bot ke hospital.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, wanita berusia 31 tahun itu selamat melahirkan bayi kembar seberat 2.4 dan 1.3 kilogram di atas bot ambulans.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak melalui hantaran serta gambar yang dimuat naik melalui Facebook (FB) hari ini memaklumkan kelahiran bayi berkenaan disambut oleh petugas kesihatan Klinik Pos Kemar.

"Kejadian berlaku sewaktu usaha membawa ibu OA (Orang Asli) berkenaan ke Hospital Gerik yang dikesan mengalami sakit bersalin oleh Jururawat Masyarakat yang membuat lawatan ke rumahnya.

"Dengan tindakan pantas anggota kesihatan, ibu berkenaan selamat melahirkan bayi kembarnya. Kesemua mereka dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) Ipoh bagi rawatan susulan," kata kenyataan itu.

Proses kelahiran itu dianggap satu detik bersejarah buat anggota kesihatan terbabit kerana dilakukan dalam bot tanpa peralatan lengkap.

Sebagai rekod, Pos Kemar merupakan penempatan Orang Asli di pedalaman di Gerik yang memerlukan sesiapa termasuk penduduk menggunakan jalan air atau bot sebagai pengangkutan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 6:33 PM