Nor Amalina Alias


Bachok: Seramai 55 murid dan pelajar tahfiz di Kampung Lubuk Kuin, Gunong di sini, memerlukan penempatan baru selepas pemilik bangunan berkenaan memaklumkan mahu mengambil semula premis itu.

Mereka yang berusia lapan hingga 17 tahun diarah mengosongkan premis selepas menerima notis arahan berpindah pada 12 Januari lalu.

Mereka membabitkan 35 murid dan pelajar lelaki serta 20 murid juga pelajar perempuan yang mengikuti pengajian agama di bawah Pondok Darul Syahadah yang dijalankan di kampung itu sejak enam tahun lalu.

Wakil tahfiz yang juga pendaftar pondok berkenaan, Rusyairi Rohani berkata, pemilik bangunan itu yang bergelar Datuk Seri menuntut semula bangunan dan tanah yang diduduki dengan alasan anaknya mahu mengambil kembali kawasan itu.

Katanya, terdahulu, bangunan dan tanah itu diberikan kepada pihak pondok tahfiz bagi menjalankan kegiatan agama melalui memorandum persefahaman (MoU) antara Datuk Seri berkenaan dengan Pengerusi Pondok, Zainul Anuar Abdullah pada 20 Julai 2016.

"Setelah mengambil alih pengurusan, kami mengeluarkan belanja sekurang-kurangnya RM409,000 untuk membaikpulih bangunan, membina bangunan baru dan menambah infrastruktur sedia ada sehingga terpaksa menjual harta persendirian seperti kereta dan rumah untuk pembangunan pondok.

"Sekiranya tidak diserahkan, pemilik menuntut RM600,000 untuk memiliki tanah ini," katanya pada sidang media di pondok berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama Mudir Pondok Amir Nazif Zainul Anuar dan bekas Pengerusi Pondok Zainul Anuar Abdullah.

SEBAHAGIAN pelajar Pondok Darul Syahadah mengemas barang-barang mereka selepas diarah keluar oleh pemilik bangunan. FOTO Nor Amalina Alias
SEBAHAGIAN pelajar Pondok Darul Syahadah mengemas barang-barang mereka selepas diarah keluar oleh pemilik bangunan. FOTO Nor Amalina Alias

Zainul Anuar berkata, enam tahun lalu, Datuk Seri berkenaan membuat MoU dengannya bagi membangunkan semula kegiatan tahfiz di bawah nama Datuk Seri berkenaan.

Katanya, bagaimanapun sejak akhir tahun lalu, Datuk Seri itu beberapa kali memberitahu pihaknya supaya mengosongkan premis itu secara lisan sebelum memberi notis keluar bangunan awal Januari.

"Kami terpaksa menumpangkan sementara 20 pelajar perempuan di rumah sewa yang disewa seorang individu manakala pelajar lain di sebuah pondok di Pahang selain mula mengemas barangan lain.

"Kami berharap dapat tempat tinggal tetap bagi pelajar meneruskan pengajian yang membabitkan tempoh lima tahun bagi sekolah rendah dan dua tahun bagi sekolah menengah," katanya yang memberitahu pondok itu mempunyai enam tenaga pengajar.

Zainul berkata, pemilik juga memaklumkan beliau ada dipanggil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheik) bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pondok itu.

Sementara itu, pemilik bangunan yang juga Datuk Seri ketika dihubungi memaklumkan, tujuan pengambilan semula tanah kerana mahu menyerahkan kepada anak lelaki yang sudah dewasa.

Katanya, tempoh enam tahun diberikan sudah cukup lama selain notis pengosongan dibuat dalam tempoh dua bulan adalah mengikut undang-undang.

"Saya sudah tua, saya serahkan tanah kepada anak dan dia ada rancangannya sendiri.

"Saya serah bangunan dan tanah untuk manfaat orang kampung kerana saya berasal di situ, namun difahamkan, penduduk tidak dapat manfaat, mereka didakwa ambil orang luar belajar di situ atas dasar nak cari untung," katanya.

Pemilik berkata, MoU itu dibuat bagi membangunkan pusat tahfiz di kawasan itu sebagai penempatan sementara sebelum mereka mendapat tanah kekal.

"Sebagai pemilik, saya izin mereka gunakan kawasan itu, tapi mereka buat ubahsuai tak maklum saya, dalam MoU juga tidak ditetapkan tempoh. Jadi sampai masa, saya ambil semula tanah saya, itu sahaja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 5:55 PM