Shafien Mamat
Shafien Mamat
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Polis menahan empat individu, termasuk seorang pemilik sebuah klinik swasta di daerah ini, yang dipercayai terbabit dalam kes penipuan kad vaksinasi Covid-19 palsu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, empat laporan diterima oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sejak Oktober tahun lalu sehingga 11 Januari daripada sumber berbeza mengenai kes itu.

"Hasil laporan diterima, kami menyerbu sebuah klinik swasta jam 11.19 pagi kelmarin bersama kakitangan JKNK.

"Kami menahan seorang pemilik klinik berusia 60-an dan tiga individu lain dalam tangkapan berasingan.

"Turut dirampas adalah kad vaksinasi dan lain-lain dokumen berkaitan," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Shafien berkata, klinik swasta terbabit dikatakan menawarkan perkhidmatan suntikan vaksin dengan caj RM180 untuk setiap suntikan.

Menurut beliau, hasil semakan dibuat JKNK, empat individu yang menerima vaksin di klinik itu tiada rekod vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.

"Kesemua yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 5:01 PM