ENAM termasuk empat sekeluarga yang merupakan pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan polis di Taman Berkat, malam semalam. FOTO ihsan POLIS
ENAM termasuk empat sekeluarga yang merupakan pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan polis di Taman Berkat, malam semalam. FOTO ihsan POLIS
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Cubaan seorang lelaki warga tempatan berusia 64 tahun menyeludup keluar empat sekeluarga yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) menggunakan kereta gagal apabila ditahan polis di Taman Berkat, dekat sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Rizal Mohamed berkata, pihaknya sebelum itu melakukan rondaan kira-kira 11.30 malam di Bagan Sungai Besar menahan kereta itu yang berada dalam keadaan mencurigakan.

"Kami menahan tekong darat dan empat individu warga asing yang terdiri daripada dua lelaki, seorang wanita dan seorang remaja perempuan berusia 13 hingga 45 tahun di dalam kenderaan itu.

"Pemeriksaan mendapati semua individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

"Mereka dipercayai ingin pulang ke negara asal melalui jalan tidak diwartakan dengan menggunakan jalan laut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rizal berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berusia 51 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penghubung kepada tekong laut berhampiran lokasi kejadian.

"Warga asing terbabit dipercayai menjadi orang tengah antara tekong darat dan tekong laut termasuk 'mastermind' di luar negara sejak tiga tahun lalu.

"Manakala empat sekeluarga itu pula tinggal di negara ini lebih 10 tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam untuk tindakan lanjut mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1963.

"Rampasan membabitkan kenderaan dan wang tunai RM 8,380. Anggaran nilai rampasan berjumlah RM 23,380.

"Semua tangkapan akan menjalani saringan bagi mencegah penularan Covid-19 di kalangan pesalah dan polis," katanya.

Katanya, orang ramai diminta memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada polis berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 4:57 PM