Ali (berdiri) berbual dengan Shahidan ketika singgah di restorannya di Jalan Pantai Bharu, Kuala Lumpur  hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Ali (berdiri) berbual dengan Shahidan ketika singgah di restorannya di Jalan Pantai Bharu, Kuala Lumpur hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Saya tidak sangka menteri akan singgah makan di restoran saya dan mendengar permasalahan semasa pemilik premis seperti saya.

"Mujur sebelum ini saya pernah menerima kunjungan orang kenamaan serta pegawai kanan kerajaan, tidaklah kekok sangat," kata Ali Syed Mohd.

Pemilik Ali Cafe di Jalan Pantai Bharu di sini, berkata, dia hanya mengetahui Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim mahu singgah di restoran melalui Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Ramlan Askolani hari ini.

Ahli Parlimen Arau itu singgah di kedai berkenaan ketika hadir dalam program rasmi di sekitar Kuala Lumpur.

Ali berkata, dia sempat berbual dengan menteri itu yang bertanyakan mengenai perniagaannya yang diusahakan lebih 40 tahun lalu.

"Ini kali pertama saya berbual dengan Datuk Seri Shahidan dan dia berborak seperti kenalan lama.

"Sempat juga saya kongsikan permasalahan peniaga di sini. Alhamdulillah, beliau mendengar dan memaklumkan akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Menurutnya, sebelum ini restorannya pernah dikunjungi Tan Sri Annuar Musa dan beberapa selebriti terkenal tanah air.

Katanya, ada ketikanya pelanggan restorannya akan mengambil peluang untuk bergambar dengan kenamaan serta artis terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 4:53 PM