RUNTUHAN di Kondominium Sri Duta 1 menjejaskan struktur bangunan itu.
RUNTUHAN di Kondominium Sri Duta 1 menjejaskan struktur bangunan itu.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Kerja pembaikan sementara untuk mengukuhkan cerun telah dijalankan di Kondominium Sri Duta 1 yang mengalami pergerakan tanah sehingga menjejaskan struktur bangunan itu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan, hari ini, berkata, kerja pembaikan sementara oleh kontraktor yang dilantik Badan Pengurusan Kondominium Sri Duta 1 membabitkan pengalihan aliran air permukaan dan semburan konkrit (shortcrete).

Katanya, cadangan pembaikan kekal akan dikeluarkan oleh perunding yang dilantik oleh "management corporation" (MC) dan kerja mereka bentuk pembaikan kekal masih di dalam proses tindakan pihak perunding.

Sementara itu, DBKL berkata, kerja pembaikan sementara masih dijalankan di tapak Kondominium Bangsar Indah yang mengalami runtuhan cerun selain beberapa batang pokok tumbang.

"Kerja-kerja ini melibatkan proses pembersihan sisa-sisa runtuhan, mengadakan saliran baru untuk aliran air hujan, pemotongan pokok yang condong, pembersihan bongkah konkrit yang tergantung di tengah cerun dan pembersihan rumah yang terkesan susulan kejadian tanah runtuh tersebut," katanya.

Menurut DBKL, Kumpulan Ikram Sdn Bhd (IKRAM) yang dilantik sebagai pakar perunding bagi menjalankan kajian awalan dan pemantauan ke atas cerun yang runtuh di dua lokasi itu juga menyediakan cadangan penyelesaian sementara.

Katanya, DBKL mengarahkan kontraktor berpenggal cerun untuk melakukan kerja pembaikan dan mengambil pendekatan semburan konkrit bagi mengukuhkan cerun.

"Beberapa batang pokok condong yang tidak lagi kuat dan berkemungkinan akan tumbang di kawasan ini, telah dan sedang ditebang bagi memastikan kejadian gelongsoran tanah ini tidak berulang dan penduduk Kondominium Bangsar Indah ini sentiasa dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 12:46 PM