GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kadar kematian akibat Covid-19 menunjukkan penurunan yang konsisten sebanyak 11.3 peratus dengan 126 kematian pada minggu epidemiologi (ME) kedua tahun ini berbanding 142 kematian pada ME sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagi ME 2/2022 yang bermula dari 9 Januari sehingga 15 Januari 2022, jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan adalah 22,006 kes dengan jumlah kes kematian sebanyak 126 kes.

"Selain itu, purata kes aktif turut dilihat meningkat sebanyak 2.4 peratus dengan purata sebanyak 38,581 kes (ME 1/2022) kepada 39,507 kes (ME 2/2022) selepas penurunan kes aktif dicatatkan sejak ME 48/2021.

"Purata kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan penurunan sebanyak lapan peratus iaitu 185 kes (ME 2/2022) berbanding 201 kes (ME 1/2022)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, penurunan berterusan indikator kes ICU secara konsisten dilaporkan sejak sembilan minggu lalu pada ME 45/2021.

"Selain itu, purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 18.1 peratus iaitu 68 kes (ME 2/2022) berbanding 83 kes (ME 1/2022).

"Purata ini kekal menunjukkan tren penurunan semenjak 21 minggu yang lalu pada ME 33/2021) dan purata nilai kebolehjangkitan (Rt) meningkat sebanyak satu peratus daripada 0.98 pada ME 1/2022 kepada 0.99 pada ME 2/2022," katanya.

Katanya, walaupun jangkitan varian Omicron dilihat kurang serius daripada segi keseriusan berbanding varian Delta, namun kadar kebolehjangkitannya adalah amat tinggi dan boleh menyebabkan peningkatan kemasukan pesakit yang memerlukan rawatan untuk tempoh yang singkat di hospital (short stay) terutamanya daripada kalangan pesakit yang berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan komorbid dan juga kanak-kanak yang seterusnya memberi tekanan kepada sistem perkhidmatan hospital.

"Selain itu, kebanyakan kategori kluster menunjukkan tren peningkatan pada ME 2/2022 berbanding ME 1/2022, kecuali bagi kluster tempat kerja dan kluster import.

"Kluster pendidikan dan kluster komuniti meningkat secara mendadak sebanyak 400 peratus dan 350 peratus pada ME

2/2022 berbanding ME 1/2022 susulan pembukaan semula sesi persekolahan di seluruh negara bermula 9 Januari lalu,' katanya.

Menurutnya, peningkatan kluster pendidikan perlu diambil serius oleh semua pihak kerana ia boleh mengakibatkan jangkitan yang lebih meluas dalam kalangan pelajar, guru, pekerja di institusi pengajian, ahli keluarga mereka dan seterusnya merebak ke komuniti.

"Pematuhan SOP (prosedur operasi standard) perlu sentiasa ditekankan sama ada sebelum, semasa, dan selepas sesi persekolahan.

"Selain itu, kluster kumpulan berisiko tinggi juga turut menunjukkan peningkatan sebanyak 66.7 peratus dan dilihat amat membimbangkan kerana jangkitan Covid-19 kepada golongan ini akan mendedahkan mereka kepada risiko gejala yang lebih teruk sekiranya tidak divaksinasi atau status vaksinasi sudah melebihi tiga bulan.

"Sebagai usaha untuk memperlahankan gelombang varian Omicron, semua jemaah umrah yang pulang ke Malaysia wajib menjalani kuarantin di pusat kuarantin mulai 3 Januari 2022 selain penangguhan sementara pelaksanaan umrah mulai 8 Januari 2022. Susulan tindakan ini, kluster import kelihatan menurun pada ME 2/2022 berbanding ME 1/2022," katanya.

Menurutnya, secara keseluruhannya, walaupun kes baharu Covid-19, kes aktif, dan nilai Rt menunjukkan peningkatan pada ME 2/2022, indikator jangkitan Covid-19 yang lain seperti jumlah kematian, kadar penggunaan katil ICU dan alat pernafasan menunjukkan penurunan.

"Kebanyakan kes baharu Covid-19 yang dilaporkan adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2 sama seperti yang berlaku di negara luar, yang mana turut melaporkan varian Omicron mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi dengan kadar keparahan yang kurang serius berbanding varian Delta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 7:45 PM