Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: "Semua orang termasuk Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) tidak kiralah dari parti mana, kita sebagai penggubal undang-undang hendaklah mematuhi undang-undang yang kita sendiri gubal," kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani meminta semua Adun negeri itu menjaga perilaku dengan tidak membabitkan diri dalam kes yang menyalahi undang-undang.

"Sebagai pemimpin, kita semestinya mengetahui apa-apa perkara yang melanggar undang-undang ataupun tidak.

"Sudah tentu sebagai pemimpin, mana-mana parti kita mesti 'well behave' kerana kita adalah contoh dan teladan kepada rakyat atau penyokong yang kita pimpin," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas apabila ditanya berhubung penahanan seorang Adun dari Perak dalam serbuan polis di sebuah premis di Perai, Bukit Mertajam di Pulau Pinang pada Khamis lalu.

Saarani berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.

"Ia sudah menjadi kes polis, tidak bolehlah saya membuat apa-apa pengumuman, polis yang akan menentukan.

"Jika didapati ada merit untuk didakwa, maka pihak Timbalan Pendakwa Raya akan membuat pendakwaan dan akan dihakimi di mahkamah. Itu saya serahkan kepada pihak berwajib, kita tiada komen apa-apa berkenaan perkara itu," katanya.

Terdahulu, beliau hadir dalam majlis pelancaran Sukarelawan Skuad Sabil Negeri Perak di Bangunan Umno Perak di sini, yang turut dihadiri Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengulas perkara sama, Asyraf Wajdi berkata, mana-mana pemimpin sekalipun, perkara paling penting yang akan dinilai rakyat adalah berkaitan integriti dan amanah kepada diri sendiri serta rakyat.

"Saya tidak merujuk kepada sesiapa tetapi sebagai pemimpin, inilah asas yang paling utama yang harus kita jaga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 3:01 PM