REMAJA dimandikan seperti jenazah selepas didapati cuba mencuri tabung masjid, baru-baru ini. FOTO tangkap layar video tular.
REMAJA dimandikan seperti jenazah selepas didapati cuba mencuri tabung masjid, baru-baru ini. FOTO tangkap layar video tular.
Samadi Ahmad


Putrajaya: Orang ramai termasuk pengurusan masjid tidak sepatutnya melaksanakan sebarang bentuk hukuman sendiri terhadap individu disyaki mencuri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, meskipun perbuatan mencuri atas apa alasan sekalipun dilarang agama, orang ramai tidak sepatutnya bertindak sendiri kerana ia boleh menyebabkan kezaliman terhadap individu disyaki.

Menurutnya, perbuatan mencuri atas apa alasan sekalipun adalah perbuatan dilarang dalam Islam dan pesalah wajar dihakimi dengan seadil-adilnya.

"Perbuatan orang ramai termasuk pengurusan masjid mengambil tindakan dan hukuman sendiri terhadap orang disyaki adalah tidak wajar.

"Perkara seumpama ini sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu tular membabitkan seorang remaja dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap cuba mencuri tabung masjid.

Idris berkata, beliau menasihatkan orang ramai termasuk pihak pengurusan masjid agar tidak terjebak dengan sentimen tertentu atau cuba mengambil tindakan sendirian sehingga menyebabkan kezaliman kepada orang disyaki.

Menurutnya, perbuatan merakam gambar orang disyaki bagi tujuan sebaran awam adalah suatu perkara amat tidak wajar.

"Sehubungan itu, masyarakat diseru supaya sentiasa cakna terhadap anggota kejiranan dan turut mengambil peranan dalam mencegah masalah sosial mengikut peranan masing-masing tanpa melampaui had.

"Semoga perkara ini menjadi pengajaran dan iktibar kepada kita semua dalam menyantuni masyarakat di sekeliling kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 11:39 PM