GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Subang Jaya: Mayat seorang remaja lelaki ditemukan orang awam di depan kedai di Jalan SS 14/2, di sini, pada 11 malam Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pemeriksaan mendapati remaja lelaki berusia 19 tahun yang lengkap berpakaian itu mengalami luka di bahagian belakang kepala dan beberapa kesan geseran di belakang badan.

Beliau berkata, mangsa dipercayai berjalan di kawasan itu dan pemeriksaan di lokasi tidak menemui sebarang petunjuk kematiannya.

"Mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan doktor mendapati kematian berpunca daripada kecederaan di kepala akibat kemalangan.

"Laporan patologi diterima polis daripada doktor Hospital Shah Alam hari ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta memberi keterangan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 10:52 PM