DADAH yang dirampas polis dalam Ops Hurricane. FOTO ihsan polis
DADAH yang dirampas polis dalam Ops Hurricane. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Sindiket dadah yang menjadikan kondominium di Puchong sebagai pusat simpanan bahan larangan itu bernilai RM1.5 juta ditumpaskan polis, Selasa lalu.

Serbuan dibuat susulan risikan dan penahanan tiga lelaki berusia 26 hingga 45 tahun jam 8.40 malam menerusi Ops Hurricane.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur, Superintendan Mohd Shokri Abdullah berkata, suspek ditahan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jalan Klang Lama, di sini.

Beliau berkata, susulan daripada penahanan itu, polis menjalankan dua serbuan berasingan dan menemui pelbagai dadah antaranya ketamin, heroin, pil ekstasi selain wang tunai RM2,280.

"Siasatan mendapati sindiket ini sudah beroperasi sejak sebulan lalu dan menjadikan unit kondominium sebagai tempat simpanan bahan terlarang itu.

"Bagi memastikan aktiviti mereka selamat, sindiket memilih kondominium mempunyai kawalan keselamatan yang ketat dengan kadar sewaan RM1,700 sebulan.

"Dadah ini dipercayai untuk pasaran tempatan yang terdiri daripada pelanggan di sekitar Lembah Klang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek ditahan reman selama enam hari sehingga 17 Januari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Katanya, jumlah keseluruhan dadah dirampas mampu menampung seramai 57,056 pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 6:50 PM