HISHAMMUDDIN (dua kiri) selepas lawatan kerja di Kem Kukusan Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
HISHAMMUDDIN (dua kiri) selepas lawatan kerja di Kem Kukusan Tawau. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Pembinaan kem baharu Tentera Darat Malaysia (TDM) di Felda Sahabat dengan kos berjumlah RM646.156 juta bukti kerajaan mengambil berat isu keselamatan di Sabah.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pembinaan kem itu adalah satu daripada dua inisiatif baharu yang dilaksanakan bagi memperkasakan keselamatan dan pertahanan di Sabah.

Beliau berkata, perancangan mengenainya dimuktamadkan dengan RM646,156,000 diperuntukkan bagi melaksanakan pembinaan kem yang akan dilaksanakan pada tahun ini.

"Antara tujuan utama pembangunan kem baharu ini adalah untuk memindahkan satu batalion infantri dan unit-unit 13 Briged.

"Selain itu ia juga sebagai usaha meningkatkan lagi tahap keupayaan dan kesiapsiagaan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam menangani ancaman semasa sekaligus mengukuhkan lagi tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah," katanya pada sidang media sempena lawatan kerja ke Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima 5 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid; Komander ATB2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad; Ketua Staf Pusat Operasi (PUSOP) ESSCOM, Brigadier Jeneral Azhar Tahir; dan Ketua Setia Usaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan satu lagi inisiatif yang dilaksanakan ialah merancakkan semula dan memperkasakan lagi inisiatif kerjasama tiga pihak iaitu Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) membabitkan kerjasama angkatan tentera Malaysia, Indonesia dan Filipina bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi.

Sehubungan itu katanya, satu pertemuan peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan pada 27 Januari ini bagi membincangkan perincian perancangan mengenainya.

"Saya telah suarakan hasrat ini kepada rakan sejawat saya di kedua-dua negara berkenaan dan mereka telah menyatakan persetujuan.

"Malah hasrat yang sama turut disuarakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor dalam pertemuan kami semalam dan InsyaAllah, saya akan bawa hasrat beliau itu semasa pertemuan bersama Menteri Pertahanan dua negara berkenaan 27 Januari ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan segelintir pemimpin pembangkang yang mendakwa kerajaan kurang beri tumpuan terhadap keselamatan Pantai Timur Sabah, beliau berkata, ia hanya tohmahan dan sedikit pun tidak mengganggu tumpuan untuk memperkukuh keselamatan di Sabah.

Jelasnya lagi, secara keseluruhan, TDM mengatur dua batalion di pulau kawasan tanggungjawab di Esszone yang bertugas 24 jam sepanjang tahun.

"Selain itu terdapat lima batalion yang bersiap sedia diatur gerakkan termasuk satu kompeni kenderaan perisai, detasmen pasukan tentera darat, selain aset-aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Labuan bersiap sedia pada bila-bila masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 5:30 PM