GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nuraliawati Sabri

Pix Nuraliawati Sabri'

Melaka: Padah sengaja melanggar anak tirinya menggunakan motosikal, seorang pengawal keselamatan dipenjara lima tahun dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, di sini, tadi.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Ramlan Abdul Karim, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas anak tirinya iaitu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dengan menggunakan sebuah motosikal.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Kampung Padang, di sini, pada 7 Januari 2022.

Justeru tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Shivasangari memohon kepada mahkamah supaya hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan mempunyai tanggungan termasuk ibu dan ayah serta menyesal atas tindakan dilakukan itu.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara lima tahun dan didenda RM2,000 selain dia juga berdepan dua bulan lagi penjara jika gagal membayar denda dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 4:39 PM