Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman
Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman
Oleh Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Pakar penyakit berjangkit negara, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman terus mengharumkan nama Malaysia menerusi pengiktirafan yang baru diterimanya dalam Forbes 50 Over 50: Asia 2022.

Pengiktirafan itu meletakkan nama Dr Adeeba sebaris tokoh wanita terkenal dunia.

Antaranya Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris, Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi serta Pakar Biokimia dan Naib Presiden Kanan BioNTech Katalin Karikó.

Dr Adeeba berkata, pengiktirafan Forbes itu diharapkan menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda, terutama kepada wanita, untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa.

"Saya sebenarnya agak terkejut di atas pengiktirafan ini. Maklumlah saya berada di antara nama-nama tokoh terkenal dan 'household names'.

"Saya berasa bersyukur dan berharap pengiktirafan ini dapat menjadi sumber inspirasi kepada anak muda, terutama golongan wanita, bahawa kita semua mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa dengan usaha dan kegigihan," katanya kepada BH hari ini.

Pada 2020, Dr Adeeba menjadi saintis Asia pertama dilantik sebagai Presiden Komuniti AIDS Antarabangsa (IAS) untuk dua tahun bermula 11 Julai 2020.

Pada April tahun lalu, Dr Adeeba dilantik menjadi anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bukan itu sahaja, bekas Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya berusia 57 tahun ini adalah pakar HIV/AIDS.

Dr Adeeba menubuhkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS selain menjawat jawatan Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia serta Profesor Adjung di Universiti Yale.

Sementara itu, menurut Forbes yang dipetik dalam The Edge Markets, lebih 10,000 calon disenaraikan dan mereka adalah kalangan figura wanita yang mengasaskan syarikat mempunyai skala keuntungan AS$20 juta (kira-kira RM82 juta) atau lebih, menerajui pergerakan atau mengubah dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 4:16 PM