Tan Sri Azam Baki. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Tan Sri Azam Baki. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Oleh Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menasihati Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, bercuti sementara ketika kes beliau disiasat pihak berkuasa.

Pengerusinya, Tan Sri Rais Yatim berkata, ini kerana, ketika ini kes yang dikaitkan dengan Azam adalah kes salah laku dan tidak menyempurnakan tugas bukannya kes jenayah.

Beliau berkata, mengikut amalan, mereka yang di siasat atas kemungkaran dan kes salah laku akan digantung kerja.

"Namun, dalam hal ini, ia bukan perbuatan jenayah, hanya salah laku dan tidak menyempurnakan tugas dengan baik maka beliau (Azam) perlu mengambil cuti rehat sebentar sementara jawatankuasa (Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menjalankan tugas mereka," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa JKMR, Hasan Karim yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang, Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Han Wai dan ahli Dewan Negara Datuk Zaiedi Suhaili.

Azam dilanda kontroversi berhubung dakwaan pemilikan saham di dua syarikat pada 2015.

Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016 ketika menjadi Pengarah Bahagian Siasatan SPRM.

Ia mengundang gesaan agar siasatan dilakukan berhubung hal itu dan Azam direhatkan daripada jawatan ketua tertinggi agensi pencegahan rasuah negara.

Rais bagaimanapun berkata, terpulang kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memutuskan sama ada Azam perlu diberi cuti untuk direhatkan atau sebaliknya.

Katanya, ketika ini berdasarkan amalan yang sedia ada, pegawai yang lebih tinggi disiasat membabitkan kes berprofil tinggi tidak diberikan cuti atau direhatkan.

"Maka terserah kepada JPA memutuskan diberi cuti tetapi natijah amalan sedang berlaku ada beberapa kes profil tinggi membabitkan pegawai lebih tinggi yang tidak diberikan cuti," katanya.

Mengulas lanjut, Rais berkata, JKMR berpandangan, kes siasatan ke atas Azam berkaitan pengisytiharan harta perlu mengikut lunas dan prosedur siasatan sedia ada.

Katanya, dalam hal berkaitan pengisyiharan aset, termasuk pembelian dan pemilikan saham, perkara itu perlu disiasat sama ada ia sudah dibuat atau belum.

"Dalam masa yang sama, adakah penyelia atau ketua pentadbir sudah dimaklumkan secara rasmi mengenai pembelian aset berkenaan dan ini menjadi intipati utama yang perlu disiasat," katanya

Beliau berkata, JKMR hanya akan menunggu laporan yang dibuat mana-mana pihak yang menyiasat sama ada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), JPA, polis dan Suruhanjaya Sekuriti.

"Kes pembelian saham dan perolehan aset membabitkan Azam enam tahun lalu itu perlu disiasat sama ada ia milik benefisiari atau atas nama sendiri dan ia jelas terkait dengan pekeliling dikeluarkan JPA pada 1983 dan keputusan Kabinet pada 2002.

"Lantaran itu, apa yang ditulis Pengerusi LPPR Tan Sri Abu Zahar Ujang mengenai kes itu, perlu diteliti daripada konteks sebenar," katanya.

Beliau menegaskan, JKMR memberi ruang kepada polis, Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Disiplin dan Perolehan Aset JPA, Ketua Setiausaha Negara (KSN) mahu pun SPA menjalankan siasatan lanjut.

Mengenai pendedahan dibuat bekas AJK LPPR Prof Dr Terence Edmund Gomez mengenai isu yang sama, katanya, JKMR berpandangan, ia perlu disalurkan kepada LPPR terlebih dahulu, bukannya didedahkan kepada luar.

"Hak menyatakan pandangan itu tidak dipertikai namun ia perlu berhemah dan wajar disalurkan ke jawatankuasa aduan dan berunding dengan LPPR terlebih dulu, tetapi ini tidak berlaku.

"Begitu juga peranan sebagai pemberi maklumat, tidak perlu dicurigai dan wajar maklumat itu diberi penilaian serta menjadi asas siasatan dan pertimbangan nilai sistem yang ada," katanya.

Beliau juga memaklumkan sudah berhubung dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai hasil mesyuarat termasuk isu berkaitan kes Azam dan diminta menyerahkan laporan secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 2:56 PM