Zaini Hussin
Zaini Hussin
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Tiga kluster Covid-19 dikesan di Kelantan membabitkan individu yang pulang dari Arab Saudi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, semua kluster berkenaan iaitu Kluster Chiku 01 Saudi di Gua Musang, Kluster Jalan Dua Saudi di Machang dan Kluster Kampung Tok Panjang Saudi di sini, dikesan sejak 5 Disember 2021 hingga kelmarin.

"Bagi Kluster Chiku 01 Saudi membabitkan 19 kes yang enam kes jangkitan import A dengan empat kes indeks disahkan varian Omicron, manakala 13 kes adalah kontak keluarga. Kadar positiviti kluster ini adalah sebanyak 76 peratus.

"Selain itu, Kluster Kampung Tok Panjang Saudi membabitkan 13 kes jangkitan import A dan tiga kes kontak keluarga. Kes indeks untuk kluster ini adalah kes presumptive varian Omicron dengan kadar positiviti sebanyak 88.9 peratus," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kluster Jalan Dua Saudi pula membabitkan enam kes iaitu satu kes adalah jangkitan import A dan lima lagi kontak keluarga dengan kes indeks bukan varian Omicron serta kadar positiviti kluster sebanyak 66.7 peratus.

Dr Zaini berharap masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengelak penularan varian Omicron di Kelantan.

"Kita tidak mahu varian ini menular dalam komuniti kerana kadar jangkitannya adalah tinggi dan boleh menyebabkan kes meningkat.

"Semua penduduk diminta menjaga diri dan sentiasa memakai pelitup muka serta mengelakkan berada di tempat sesak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 5:01 PM