GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Arahan bekerja dari rumah (BDR) dan sistem penggiliran di sekolah perlu dikekalkan bagi mengekang peningkatan kes dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kerajaan tidak boleh mengelak varian Omicron memasuki Malaysia kerana ia sudah menular ke semua negara.

"Kita mengambil ringan mengenai Omicron kerana dianggap tidak bahaya berbanding Delta, tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga sudah memberi amaran Omicron ini walaupun ringan tetapi masih boleh menyebabkan kematian dan kemasukan ke wad.

"Walaupun kadar peratusan vaksinasi kita tinggi iaitu 97 peratus, tetapi kita tetap tidak boleh mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) dan suntikan penggalak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Sharifa Ezat berkata, suntikan penggalak juga amat penting untuk mencegah terkena jangkitan Omicron.

"Kita ambil contoh di United Kingdom dan Amerika Syarikat yang dahulunya mengatakan sudah bebas daripada Covid-19 dengan tidak mengenakan pelitup muka dan penjarakan fizikal, kini mereka mengalami jangkitan wabak ini dengan cepat.

"Apa yang dilakukan Malaysia ketika ini iaitu masih mewajibkan pelitup muka, mematuhi SOP dan penjarakan fizikal adalah langkah yang betul. Disebabkan itu, kita lihat kes Covid-19 dalam negara tidak begitu tinggi dan merebak dengan cepat," katanya.

Ditanya mengenai perlunya PKP dilaksanakan semula, beliau berkata, PKP sudah tidak lagi relevan untuk dilaksanakan kerana menyebabkan ekonomi negara terjejas.

"Saya mohon kerajaan melaksanakan semula amalan BDR bagi sektor tertentu dan juga sistem penggiliran di sekolah kerana kurangnya perhimpunan boleh mengurangkan kes harian.

"Sepatutnya kita perlu belajar daripada pengalaman sebelum ini, tidak perlu laksanakan PKP, cuma perketatkan SOP dan perbaiki sistem yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 4:27 PM