Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot pam meletup di kawasan perairan Pulau Tatagan, dekat sini, diaktifkan pagi tadi membabitkan pelbagai agensi penguastkuasa. FOTO Ihsan PDRM
Operasi mencari dan menyelamat mangsa bot pam meletup di kawasan perairan Pulau Tatagan, dekat sini, diaktifkan pagi tadi membabitkan pelbagai agensi penguastkuasa. FOTO Ihsan PDRM
Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Dua nelayan dikhuatiri hilang selepas bot pam dinaiki mereka dipercayai meletup di kawasan perairan Pulau Tatagan, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, setakat ini identiti mangsa belum dikenal pasti dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, polis menerima laporan dibuat pegawai Pemulihan Marin Semporna (WWF) memaklumkan berlaku kejadian letupan membabitkan sebuah bot pam di perairan itu kira-kira 6.08 petang.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dihantar ke lokasi bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam radius dua batu nautika.

"Hasil temubual ke atas seorang saksi warga tempatan yang sedang memukat ikan mendakwa terdengar dan ternampak satu letupan kuat dalam jarak lebih kurang 200 meter," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Farhan berkata, bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang penemuan dilaporkan termasuk serpihan bot pam berkenaan.

Katanya, operasi SAR oleh pelbagai agensi penyelamat sedang giat dijalankan.

"Mereka yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah di talian 019-8139851 atau 08-9782020 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 6:02 PM