Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Tiada kompromi kepada mana-mana pihak yang memalsukan sijil vaksinasi Covid-19 di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas jika wujud pihak yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

"Sudah tentu jika ada yang memalsukan sijil vaksinasi tindakan tegas akan diambil dengan segera, sekarang ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) termasuk pihak bertanggungjawab untuk melakukan pemantauan.

"Kita tidak akan berkompromi kepada pihak yang cuba bertindak memalsukan sijil vaksinasi Covid-19 di negeri ini," katanya pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan alat bantuan pernafasan kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Kompleks Rawatan Harian HRPB di sini, hari ini.

MOHD Akmal pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan alat bantuan pernafasan kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Kompleks Rawatan Harian HRPB. FOTO Balqis Jazimah Zahari
MOHD Akmal pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan alat bantuan pernafasan kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Kompleks Rawatan Harian HRPB. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Mohd Akmal berkata, bagaimanapun setakat ini tiada kes diterima berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya melihat sambutan baik rakyat untuk menerima suntikan dos penggalak Covid-19.

"Setakat ini seramai 527,964 orang sudah menerima suntikan dos penggalak .

"Keseluruhan setakat ini kira-kira 4 juta dos vaksin yang diberikan di negeri Perak," katanya.

Terdahulu, Mohd Akmal berkata, dua alat bantuan pernafasan (ventilator) daripada Bandaraya Nanning, China melalui Majlis Bandaraya Ipoh diserahkan kepada HRPB.

Katanya, kedua-dua peralatan yang dianggarkan bernilai RM136,000 itu diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya serta mampu membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa.

"Peralatan ini diterima pada 17 Disember lalu dan ia digunakan di HRPB.

"Penawaran dua unit ventilator pihak Bandaraya Nanning, China ini tepat pada masanya yang mana ia secara tidak langsung membantu perkhidmatan kesihatan khususnya di HRPB untuk memerangi wabak Covid-19" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 5:54 PM