Foto hiasan
Foto hiasan
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 16 kluster jangkitan Covid-19 membabitkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi antara 25 November hingga hari ini, termasuk tujuh kluster dengan kes indeks disahkan varian Omicron.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam lagi kluster membabitkan kes indeks diandaikan Omicron (Presumptive Omicron) yang sedang menunggu keputusan penjujukan genom keseluruhan (WGS) dan tiga kluster membabitkan kes indeks positif Covid-19 bukan varian Omicron.

Menurutnya, daripada jumlah kluster berkenaan, empat kluster membabitkan kes dari Pahang, masing-masing tiga kluster dari Kelantan dan Kedah, kluster dari Johor serta masing-masing satu kluster dari Sabah dan Labuan.

Katanya, satu kluster membabitkan kes dari Pahang dan Johor, manakala satu kluster lagi membabitkan kes dari Kedah, Selangor, dan Pulau Pinang.

"Kluster Keratong 5 Saudi di Rompin, Pahang adalah kluster dengan jumlah kes yang paling tinggi iaitu 36 kes.

"Kes indeks bagi kluster ini adalah disahkan varian Omicron dengan dua kes jangkitan import dan 34 kes kontak keluarga.

"Kes-kes dalam kluster ini terdiri daripada ahli keluarga dari Pahang dan Johor dengan kadar positiviti sebanyak 81.8 peratus.

"Selain itu, terdapat dua lagi kluster yang membabitkan jemaah umrah dalam daerah yang sama iaitu Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi dan Kluster Keratong 2 Saudi," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Rumah Kedai Keratong 5 Saudi pula membabitkan sembilan kes yang terdiri daripada satu kes indeks diandaikan Omicron, iaitu juga kes import dan lapan kes kontak keluarga.

Beliau berkata, kadar positiviti bagi kluster ini adalah sebanyak 75 peratus.

Katanya, Kluster Keratong 2 Saudi pula membabitkan 11 kes iaitu dua kes import dan sembilan kes kontak keluarga dengan kadar positiviti kluster sebanyak 78.6 peratus.

Beliau berkata, kes indeks dari Kluster Keratong 2 Saudi ini bukanlah kes varian Omicron.

Menurutnya, ketika ini Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sedang dilaksanakan di Felda Keratong 5, Rompin, Pahang bermula 6 Januari hingga 19 Januari ini untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19 kepada komuniti.

"Bagi Kelantan, Kluster Chiku 01 Saudi membabitkan 19 kes iaitu tiga kes indeks disahkan varian Omicron dengan enam kes jangkitan import, manakala 13 kes adalah kontak keluarga. Kadar positiviti kluster ini adalah sebanyak 76.0 peratus.

"Kluster Kampung Tok Panjang Saudi pula membabitkan 13 kes jangkitan import dan tiga kes kontak keluarga. Kes indeks untuk kluster ini adalah kes Presumptive varian Omicron dengan kadar positiviti sebanyak 88.9 peratus.

"Kluster Jalan 2 Saudi pula membabitkan enam kes iaitu satu kes jangkitan import dan lima kes kontak keluarga dengan kes indeks bukan varian Omicron serta kadar positiviti kluster sebanyak 66.7 peratus," katanya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jalan OKK Awang Besar Saudi dari Labuan pula membabitkan seramai 19 mangsa dengan 11 kes jangkitan import dan lapan kes kontak keluarga manakala kes indeks adalah kes Presumptive varian Omicron dengan kadar positiviti sebanyak 12.8 peratus.

Beliau berkata, di Sabah pula, Kluster Millenium Saudi membabitkan 18 kes iaitu 13 kes jangkitan import dan lima kes kontak keluarga dengan kes indeks adalah kes diandaikan varian Omicron dan kadar positiviti sebanyak 30.5 peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, seramai 456 individu disaring dalam kluster jemaah umrah dengan 219 kes positif dikenal pasti, menjadikan kadar positiviti sebanyak 48 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 9:42 PM