Gambar tular yang mendakwa satu majlis di Jalan Tun Ismail, Chow Kit di Kuala Lumpur diadakan tanpa memakai pelitup muka. Foto Ihsan Pembaca
Gambar tular yang mendakwa satu majlis di Jalan Tun Ismail, Chow Kit di Kuala Lumpur diadakan tanpa memakai pelitup muka. Foto Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis buka kertas siasatan berhubung gambar tular di media sosial berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) apabila individu yang hadir pada satu majlis di Jalan Tun Ismail, Chow Kit di sini, tanpa memakai pelitup muka.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan satu hantaran yang tular di media sosial berhubung kejadian itu selepas dimuat naik pemilik akaun Twitter Meme@Knowledge9701, hari ini.

"Justeru itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Selain itu, kes itu juga disiasat mengikut Peraturan 16(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara (PPN) 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP yang berkuat kuasa dan tindakan di bawah peruntukan undang-undang akan diambil jika berlaku ketidakpatuhan.

Dalam hantaran itu, pemilik akaun Twitter berkenaan mempertikaikan tindakan individu yang hadir pada majlis berkenaan yang dihadiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak memakai pelitup muka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 8:47 PM