GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Tangkak: Polis menahan dua beradik yang dipercayai aktif mengedar dadah sejak November lalu di sebuah rumah di Sungai Mati di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, dalam serbuan antara jam 2.30 petang hingga 3.25 petang itu, dua lelaki berusia 40 dan 42 tahun ditahan bersama dadah disyaki jenis heroin dan syabu seberat 4.73 kilogram dianggarkan bernilai RM138,607.

"Berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki tempatan itu, berstatus duda serta mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Hasil saringan ujian air kencing turut mendapati si abang positif dadah jenis methamphetamine.

"Mereka menjadikan rumah yang didiami sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan dadah. Kesemua dadah yang dirampas dipercayai diedar untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak, di sini hari ini.

Beliau berkata, dadah berkenaan iaitu heroin seberat 3.8 kilogram bernilai RM45,493 dan syabu anggaran berat 0.93 kilogram bernilai RM93,114 boleh menampung atau digunakan oleh seramai 8,543 orang penagih.

Katanya, selain dadah, polis turut merampas sebuah kereta Honda Accord dengan anggaran nilai RM45,000 selain menyita kereta Honda City bernilai kira-kira RM26,000 dan wang tunai RM2,000.

Mohd Fadhil berkata, dua beradik itu direman tujuh hari bermula Ahad lalu sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketika ditanya mengenai kes Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamim Ab Hamid, 33, yang melarikan diri dari Mahkamah Tangkak, tanpa mengulas lanjut beliau berkata lelaki berkenaan masih berada di Penjara Sungai Udang, Melaka.

Pada 15 Disember lalu, Abdul Hamim dipercayai meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah sebelum perbicaraan kesnya bermula yang didakwa mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 3:56 PM