Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Peningkatan kluster pendidikan yang terjadi sebelum ini perlu diambil serius oleh semua pihak yang terbabit dengan aktiviti pembukaan semula persekolahan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta keselamatan dan kesihatan warga sekolah perlu diberi perhatian yang lebih supaya kewujudan kluster baharu pendidikan dapat dicegah.

"Ini kerana ia boleh mengakibatkan jangkitan yang lebih meluas dalam kalangan pelajar, guru, pekerja di institusi pengajian dan juga kepada keluarga mereka sebelum merebak dalam komuniti.

"Selain itu, peningkatan kluster kumpulan berisiko tinggi juga agak membimbangkan kerana ia akan mendedahkan mereka kepada risiko gejala lebih teruk sekiranya tidak divaksinasi atau status vaksinasi sudah melebihi tiga bulan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi Minggu Epidemiologi 1/2022 (ME1) yang bermula dari 2 hingga 8 Januari lalu, jumlah kes baharu Covid-19 dilaporkan adalah 21,859 kes dengan jumlah kes kematian sebanyak 142 kes, manakala purata kes aktif bagi ME1 adalah 38,581 kes.

"Ini menyaksikan penurunan jumlah kes baharu sebanyak 5.3 peratus daripada 23,071 kes pada ME 52/2021 dengan purata kes aktif turut menurun kepada 40,963 kes atau enam peratus yang diperhatikan sejak enam minggu lalu.

"Kes kematian konsisten menunjukkan penurunan sebanyak 28.3 peratus dengan 198 kematian yang direkodkan pada dua minggu lalu, manakala kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) menunjukkan penurunan sebanyak 11.1 peratus iaitu 226 kes pada ME 52/2021 kepada 201 kes pada ME 1/2022.

"Penurunan ini dilaporkan sejak sembilan minggu lalu iaitu ME 44/2021. Purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 4.6 peratus iaitu dari 87 kes (ME 52/2021) ke 83 kes (ME 1/2022)," katanya.

Beliau berkata, purata itu kekal menunjukkan tren penurunan sejak 21 minggu lalu iaitu pada ME 32/2021.

"Purata nilai Rt meningkat sebanyak 3.16 peratus kepada 0.98 (95 peratus CI 0.96-0.99) pada ME 1/2022 dari 0.95 (95 peratus CI 0.94-0.96) pada ME 52/2021.

"Tren penggunaan ICU untuk kes Covid-19 semakin menurun berterusan bermula sembilan minggu lalu iaitu ME 44/2021, manakala tren penurunan penggunaan ventilator juga dilihat ketara mulai 21 minggu lalu iaitu ME 32/2021.

"Penurunan kedua-dua indikator ini selari dengan peningkatan liputan vaksinasi seluruh negara yang kini mencatatkan 78.5 peratus populasi keseluruhan lengkap divaksinasi sehingga semalam," katanya.

Menurutnya, daripada kumulatif 6,158 kluster yang dilaporkan setakat 8 Januari lalu, terdapat 176 kluster masih aktif dengan penurunan sebanyak 39 kluster atau 18.1 peratus berbanding minggu lalu.

"Selain itu, sebanyak 64 kluster diisytiharkan tamat pada ME 1/2022 sekali gus menjadikan peningkatan kluster tamat sebanyak 60 peratus berbanding ME 52/2021.

"Terdapat 25 kluster baharu dilaporkan pada ME 1/2022 yang terdiri daripada 11 kluster atau 44 peratus membabitkan kluster tempat kerja; kluster import (enam kluster, 24 peratus); kluster pusat pendidikan (tiga kluster, 12 peratus); kluster kumpulan berisiko tinggi (tiga kluster, 12 peratus) dan kluster komuniti (dua kluster, lapan peratus)," katanya.

Katanya, penggunaan katil biasa di hospital pada ME 1/2022 kekal statik dengan 28 peratus pengisian, manakala katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) mencatatkan peningkatan penggunaan lima peratus berbanding ME 52/2021.

"Selain itu, penggunaan katil ICU dan penggunaan ventilator menurun sebanyak satu peratus berbanding ME 52/2021," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 8:05 PM