Melaka River Cruise (MRC) menjadi tumpuan pelancong di Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Melaka River Cruise (MRC) menjadi tumpuan pelancong di Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pengusaha pelancongan dan peniaga di Melaka kembali `tersenyum' berikutan bandaraya berkenaan kembali menjadi tumpuan ribuan pelancong selepas mulai pulih daripada bencana banjir.

Tinjauan di bandaraya berkenaan tadi, mendapati aktiviti pelancongan kembali rancak termasuk pergerakan beca yang mula aktif membawa pengunjung.

Malah Melaka River Cruise (MRC) turut menjadi tumpuan walaupun sebelum ini perkhidmatannya terjejas dan ditutup susulan peningkatan air di sungai Melaka.

Pengusaha pelancongan Jafri Jaafar, 55 berkata, dia lega kerana Melaka kembali menjadi tumpuan semula pelancong selepas agak suram sebelum ini.

Katanya, banjir yang melanda minggu lalu menyebabkan orang ramai bimbang untuk berjalan-jalan di negeri ini,

"Selepas keadaan banjir reda orang ramai kembali semula ke bandaraya ini. Walaupun tidak sehebat sambutan sebaik pintu sempadan di buka pada Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, namun situasi kelihatan positif.

"Malah ramai ibu bapa membawa anak-anak melancong kerana ini adalah minggu terakhir sebelum sekolah dibuka semula esok," katanya.

Malah jalan utama ke pusat pelancongan itu di Bandar Hilir, Jalan Bendahara selain Klebang juga sesak dengan kenderaan pelancong.

Sementara itu hanya lima kawasan yang masih terjejas banjir di Melaka membabitkan 389 mangsa yang masih di tempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kawasan yang masih terjejas membabitkan Kampung Belimbing Dalam di daerah Alor Gajah dan Kampung Parit Penghulu Benteng, Kampung Lanchang, Kampung Tersusun Rambai Jaya dan Kampung Parit Putat Benteng di daerah Jasin.

Katanya, seramai 105 keluarga dengan masing-masing satu di PPS daerah Alor Gajah, tiga di daerah Jasin sementara semua PPS di Daerah Melaka Tengah sudah ditutup sepenuhnya.

Katanya, PPS di Alor Gajah yang masih di buka membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam dengan empat mangsa sementara di Jasin SK Parit Penghulu (55 mangsa), SK Seri Mendapat (61) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai seramai 269 mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 4:24 PM