KEADAAN di Dangi, Kuala Pilah dalam kejadian banjir baru-baru ini. FOTO Ihsan JPS Kuala Pilah.
KEADAAN di Dangi, Kuala Pilah dalam kejadian banjir baru-baru ini. FOTO Ihsan JPS Kuala Pilah.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Banjir di Negeri Sembilan pulih sepenuhnya dengan pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir ditutup semalam manakala jumlah mangsa banjir di Johor dan Pahang menurun sementara Melaka tidak berubah.

Berdasarkan laporan aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), banjir di Negeri Sembilan pulih sepenuhnya apabila PPS Dewan Orang Ramai Kampung Puom, Jelebu ditutup semalam.

PPS itu menempatkan enam individu daripada dua keluarga yang kehilangan rumah akibat banjir yang melanda 18 Disember lalu.

Di Johor, jumlah mangsa banjir terus menurun daripada 4,233 individu daripada 1,191 keluarga malam tadi kepada 3,872 orang daripada 1,090 keluarga setakat 8 pagi ini, di 56 PPS.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata empat daerah masih terjejas dengan banjir dan Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,884 orang, diikuti Muar (1,188), Tangkak (726) dan Batu Pahat (74).

"Bagaimanapun, semua penduduk diingatkan sentiasa berwaspada berikutan empat sungai di daerah Muar mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; Sungai Pagoh di Kampung Olak Sepam, Muar; Sungai Muar di Panchor, Muar; Sungai Muar di Liang Batu, Muar; dan Sungai Endau di Kampung Labong, Mersing," katanya.

Beliau berkata cuaca di seluruh negeri Johor termasuk daerah yang terjejas banjir ketika ini dilaporkan cerah.

Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir setakat 8 pagi ini menurun berbanding petang semalam dengan 493 orang masih ditempatkan di 11 pusat pemindahan di daerah Maran, Pekan dan Rompin, manakala kesemua PPS di Temerloh dan Bera telah ditutup semalam.

Beberapa jalan masih lagi ditutup antaranya Jalan Triang 1, Jalan Bohor Baru di Bera, Jalan Ibam-Kampung Aur, Jalan Kampung Lubuk Batu (Rompin), Jalan Teluk Ganchong Lepar (Pekan), Jalan Serengkam (Maran) dan Jalan Kota Gelanggi-Lepar Utara (Jerantut).

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan aras air di Sungai Kundang di Jambatan Sungkai Kundang di Maran, Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub) dan Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi (Bentong) telah melepasi tahap waspada pagi ini.

Sementara di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata mangsa banjir di Melaka kekal 389 orang daripada 105 keluarga pagi ini dengan satu PPS masih dibuka di Alor Gajah dan tiga PPS di Jasin.

Sementara itu, laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat dan ribut petir berlaku di Mersing serta tiga tempat di Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 12:06 PM