Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mendapatkan maklumat lengkap mengenai kerosakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin, Serian, Sarawak yang terbabit dalam kebakaran pagi ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, KPM akan mengambil tindakan segera susulan kejadian itu yang membabitkan bilik guru dan bahagian pentadbiran.

Katanya, beliau pernah melawat sekolah itu ketika mengadakan lawatan ke Sri Aman, tahun lalu.

"Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan Insya-Allah KPM akan ikhtiar yang terbaik untuk warga SMK Balai Ringin," katanya melalui Facebooknya hari ini.

Media pagi ini melaporkan letupan kuat mengejutkan pengawal SMK Balai Ringin pada awal pagi ini sebelum menyedari blok bilik guru iaitu bahagian atas bangunan dua tingkat sekolah itu terbakar.

Sekolah berkenaan terletak di Kilometer 93, Jalan Kuching - Sri Aman mempunyai lebih 1,700 pelajar dan sekitar 100 guru.

DATUK Dr Radzi Jidin
DATUK Dr Radzi Jidin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 11:44 AM