DR Kamaliah Ghazali (kanan) dan Pengarah Bahagian Regulatori JPV, Dr Mohammad Razli Abdul Razak menyerahkan bantuan makanan haiwan kesayangan kepada pemilik kucing di perkarangan surau perumahan Bukit Rangin Perdana Dua. FOTO MOHD RAFI MAMAT
DR Kamaliah Ghazali (kanan) dan Pengarah Bahagian Regulatori JPV, Dr Mohammad Razli Abdul Razak menyerahkan bantuan makanan haiwan kesayangan kepada pemilik kucing di perkarangan surau perumahan Bukit Rangin Perdana Dua. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kerugian lebih RM1.4 juta dialami 281 penternak di sembilan daerah negeri ini selepas lebih 17,403 ternakan mati dan hilang berikutan kejadian bencana banjir akhir tahun lalu.

Jumlah kerugian dijangka terus bertambah apabila banyak lagi penternak di beberapa daerah yang masih lagi mengalami banjir gelombang kedua belum sempat membuat aduan.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang, Dr Kamaliah Ghazali berkata, sebanyak 40,473 ternakan terjejas dengan kejadian banjir baru-baru ini, antaranya ayam, lembu, kambing, kerbau, bebiri, itik dan arnab.

Menurutnya, selain mati lemas apabila kadang dan reban ditenggelami banjir, terdapat juga kes ternakan berkenaan hilang dibawa arus deras air dan gagal dikesan oleh penternak.

"Ternakan yang paling banyak mati direkodkan ialah ayam sebanyak 14,849 ekor diikuti itik (1,100), ayam belanda (412), lembu (307), arnab (210), kambing (132) dan bebiri (64).

"Daerah Kuantan, Pekan dan Jerantut antara daerah yang mencatat jumlah terbanyak. Untuk membantu meringankan beban penternak yang terkesan, JPV Pahang menyediakan bantuan makanan palet," katanya.

Beliau berkata demikian pada program sumbangan makanan haiwan kepada pemilik yang menjadi mangsa banjir di perkarangan surau perumahan Bukit Rangin Perdana Dua, di sini semalam.

Dr Kamaliah berkata, selepas ini pihaknya akan terus membantu penternak yang terkesan dengan kejadian banjir dalam usaha meringankan beban yang ditanggung terutama apabila mengalami kerugian besar.

Mengenai bantuan makanan haiwan kesayangan beliau berkata, program berkenaan julung kali diadakan bertujuan meringankan beban seramai 24 pemilik kucing daerah ini dan beberapa daerah lain yang terkesan.

"Sejak Disember tahun lalu JPV mengagihkan 1,071 kilogram (kg) makanan kucing dalam bentuk kering, 257 tin makanan, 8,640 paket. Sebanyak 217 kg makanan kering dan 24 paket makanan turut diberikan kepada pemilik kucing.

"Seramai 20 individu dan pusat perlindungan pemilik haiwan menerima bantuan berkenaan di Pantai Timur. Sumbangan makanan juga diberikan kepada klinik haiwan bergerak anjuran beberapa pihak.

"Jabatan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Kelab Kucing Malaysia mengumpul

sumbangan makanan kucing dan anjing daripada enam syarikat dan individu. Ia diagihkan kepada pemilik di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 9:18 AM