MOHD Zaidi (tengah) menunjukkan ganja yang berjaya dirampas dalam tiga operasi berasingan dijalankan semalam. FOTO Ihsan PDRM
MOHD Zaidi (tengah) menunjukkan ganja yang berjaya dirampas dalam tiga operasi berasingan dijalankan semalam. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Pasangan kekasih adalah antara empat dalang sindiket pengedaran ganja yang ditahan polis, dalam tiga operasi berasingan, semalam.

Operasi yang digerakkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bermula jam 6 petang itu, menahan seorang lelaki berusia 23 tahun bersama 68.31 gram dadah di Taman Milek, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, hasil soal siasat membawa kepada tangkapan seorang lagi suspek berusia 28 tahun bersama 39.55 gram ganja di sebuah kondominium di Penampang.

Katanya, bertindak atas maklumat, pasukan operasi menyerbu sebuah lagi rumah di Millennium Court, di sini, dan menahan pasangan kekasih berusia 29 dan 30 tahun.

"Hasil serbuan, pasukan operasi berjaya merampas 211.60 gram ganja yang disembunyikan di dalam sebuah beg di rumah berkenaan.

"Semua suspek yang ditahan adalah warga tempatan dan tidak mempunyai pekerjaan tetap," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, siasatan awal mendapati, semua dadah berkenaan diperolehi daripada pembekal ganja di Kuala Lumpur.

Katanya, mereka menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar ganja berkenaan bersama barangan lain bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Sindiket ini bergiat aktif sejak hujung tahun 2020 dan menjadikan sebuah rumah sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula dadah berkenaan.

"Ganja berkenaan dibungkus dalam pek kecil untuk diedarkan di sekitar ibu negeri dan daerah Penampang bagi mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda," katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, semua ganja yang dirampas seberat 319.24 gram yang dianggarkan bernilai RM800 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, semua dadah yang dirampas berkenaan dipercayai mampu memenuhi permintaan sebanyak 355 penagih.

"Semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati hanya suspek lelaki positif dadah.

"Semua suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39A(2) dan Seksyen 39A(1), akta sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 8:36 PM