GAMBAR fail. FOTO NSTP
GAMBAR fail. FOTO NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) meluluskan pemberian vaksin Covid-19 Comirnaty kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, Mesyuarat PBKD kali ke-368 yang bersidang hari ini bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi produk vaksin berkenaan.

"Vaksin Comirnaty yang diluluskan untuk imunisasi Covid-19 kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

"Sediaan ini mempunyai kekuatan yang lebih rendah berbanding vaksin Comirnaty yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas.

"Kita akan umumkan nanti bila akan bermula, Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Khairy berkata, PKBD juga meluluskan vaksin Comirnaty dengan formulasi baharu (Tris/Sucrose) yang tidak memerlukan pencairan (dilution) sebelum administrasi dan mempunyai tempoh jangka hayat yang lebih panjang iaitu 10 minggu berbanding formulasi sedia ada (satu bulan) apabila disimpan pada suhu 2 darjah Celsius hingga 8 darjah Celsius selepas dinyahbeku.

"Indikasi Comirnaty (Tris/Sucrose) ini adalah untuk imunisasi Covid-19 kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas.

"PBKD juga memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin Convidecia (CanSino) sebagai dos penggalak kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas dengan sela masa 3 hingga 6 bulan selepas menerima dos pertama daripada vaksin yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 6:17 PM