SITI Bainun.
SITI Bainun.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan peguam pemerhati bagi pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk hadir dalam prosiding perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali.

Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas peguam mewakili Suhakam, Mardhiyyah Johari memaklumkan kepada mahkamah mengenai permohonan itu.

"Tiada masalah untuk pihak Suhakam melantik peguam pemerhati dalam kes itu namun diingatkan bahawa terdapat perbezaan antara pihak yang hadir selaku peguam pemerhati dengan pihak-pihak yang mempunyai locus standi dan peguam pemerhati perlu sentiasa menghormati prinsip itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Hafizatul Ifa Ab Razak memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan 12 dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan dan terdapat beberapa dokumen lain akan diserahkan sebelum perbicaraan bermula.

Peguam M Yalini yang mewakili Siti Bainun mengesahkan perkara itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mac ini untuk pengurusan kes selanjutnya.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun tahun lepas.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu akan berlangsung selama 15 hari bermula 30 Mac ini dengan 34 saksi pendakwaan akan memberi keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 3:10 PM