PENDUDUK di Kinabatangan terpaksa menggunakan bot selepas jeti di Pangkalan Bukit Garam ditenggelami air. FOTO Bernama
PENDUDUK di Kinabatangan terpaksa menggunakan bot selepas jeti di Pangkalan Bukit Garam ditenggelami air. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Keadaan banjir di tiga negeri dilaporkan semakin baik apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menunjukkan pengurangan pagi ini.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Johor dan Sabah meningkat sedikit pagi ini berbanding malam tadi.

Di Negeri Sembilan, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 506 individu membabitkan 124 keluarga dengan lima PPS dibuka setakat 8 pagi ini berbanding 589 individu membabitkan 148 keluarga, malam tadi.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 466 orang daripada 126 keluarga pada pukul 8 pagi ini berbanding 468 mangsa daripada 128 keluarga pada 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 14 kawasan di Jasin.

Sementara itu, di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan masih terdapat seramai 1,369 mangsa banjir di 30 PPS membabitkan lima daerah pagi ini, sekali gus menunjukkan penurunan berbanding malam tadi dengan 1,491 mangsa.

Daerah terbabit banjir ialah Temerloh yang mempunyai mangsa paling ramai iaitu 510 orang manakala mangsa di Bera, Maran, Pekan dan Rompin adalah mangsa banjir gelombang kedua bermula tahun ini.

Sementara itu, laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan Sungai Bera dan Sungai Serting di Bera serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan masih melebihi paras bahaya.

Di Johor, mangsa banjir meningkat sedikit kepada 4,449 orang setakat 8 pagi ini berbanding 4,253 orang malam tadi, dengan 66 PPS yang masih beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, enam daerah masih terjejas banjir dengan Segamat mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 2,508 orang daripada 685 keluarga.

Sementara itu, empat sungai masih mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Muar di Liang Batu, Muar; Sungai Muar di Kampung Olak Sepam, Muar; dan Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat; dan Sungai Muar di Buloh Kasap, setakat 6 pagi tadi.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir dilaporkan sedikit meningkat dengan 3,275 mangsa daripada 1,350 keluarga pagi ini berbanding 3,264 mangsa daripada 1,341 keluarga malam tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa banjir ditempatkan di 27 PPS yang masih beroperasi di lima daerah terjejas banjir yang terletak di utara dan pantai timur negeri itu.

Kota Marudu kekal merekodkan mangsa banjir paling ramai dipindahkan dengan 2,668 mangsa daripada 1,161 keluarga di 14 PPS; diikuti Pitas 330 mangsa daripada 129 keluarga di empat PPS; Telupid (178 mangsa, 43 keluarga, enam PPS); Paitan (54 mangsa, 10 keluarga, dua PPS); dan Sandakan (45 mangsa, tujuh keluarga, satu PPS).

Di Selangor, Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di Selangor kekal seramai 40 orang melibatkan dua PPS di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam berada ditahap bahaya iaitu pada ketinggian 2.9 meter, manakala Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat (3.7 meter) dan Sungai Tengi di Pekan Tanjong Karang, Kuala Selangor (2.01 meter) di tahap waspada setakat 7.45 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 11:04 AM