Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjangkakan 33 masjid dan 90 surau di negeri ini yang terjejas banjir kembali dibuka kepada jemaah dalam tempoh kira-kira dua minggu dari sekarang.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, setakat hari ini kerja-kerja pembersihan masjid dan surau berkenaan sudah pun selesai.

"Pembersihan masjid, surau semua sudah selesai tetapi belum boleh digunakan kerana beberapa proses sedang berjalan.

"Saya sasar sekurang-kurangnya seminggu dua lagi (masjid, surau) boleh digunakan sebab pemasangan karpet mula berjalan, begitu juga perolehan dan bekalan serta pendawaian elektrik di premis berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Dana Wakaf al-Quran Selangor di Lobi Utama Bangunan Sultan Idris Shah, di sini petang tadi.

Penuntut dari GiatMARA Puchong serta Politeknik Nilai membantu membersihkan ruang solat utama Masjid Ar Rahman, Kampung Bukit Changgang, Banting selepas ditenggelami banjir. FOTO FAIZ ANUAR
Penuntut dari GiatMARA Puchong serta Politeknik Nilai membantu membersihkan ruang solat utama Masjid Ar Rahman, Kampung Bukit Changgang, Banting selepas ditenggelami banjir. FOTO FAIZ ANUAR

Sementara itu katanya, bagi sekolah-sekolah bawah kelolaan Jais yang terjejas juga masih dalam proses penyediaan keperluan pembelajaran.

"Sekolah-sekolah ini juga sudah selesai pembersihan, sekarang dalam proses menyediakan keperluan belajar termasuk bilik guru terjejas malah ini semua sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri.

"Jais juga akan putuskan bila sekolah ini kembali dibuka, ada sekolah bergantung kepada keadaan termasuk sekolah yang terbabit dengan tanah runtuh dan sebagainya.

"Keputusan pakar berkaitan teknikal, cerun penting untuk menentukan sama ada sekolah boleh beroperasi atau sebaliknya," katanya.

Katanya, tragedi banjir pada 18 Disember tahun lalu menjejaskan 33 masjid, 90 surau dan 56 Sekolah Rendah Agama di bawah kelolaan Jais serta 35 Maahad Tahfiz Swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:04 PM