GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 2,842 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan kumulatif kes melonjak kepada 2,769,886 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada keseluruhan kes yang dilaporkan itu, sebanyak 332 kes import membabitkan 292 warganegara dan 40 bukan warganegara.

Menurutnya, sebanyak 98.3 peratus atau 2,795 kes terdiri daripada pesakit kategori satu dan dua manakala selebihnya iaitu 1.7 peratus atau 47 kes kategori tiga hingga lima.

"Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) adalah 252 kes membabitkan 196 kes disahkan Covid-19 manakala 56 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

"Kes memerlukan bantuan pernafasan pula sebanyak 134 kes membabitkan 82 kes disahkan Covid-19 dan 52 kes disyaki, kemungkinan serta dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 2,862 kes sembuh hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,698,613 kes.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak dua kluster baharu dikesan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan yang direkodkan 6,139 kluster dengan 200 kluster masih aktif.

Beliau berkata, nilai kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di seluruh negara masih berada di bawah paras 1.0 iaitu 0.99.

Beliau berkata, Johor dan Kelantan merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu masing-masing 1.00 diikuti Kedah (0.98), Melaka dan Sabah masing-masing 0.97.

Katanya, Sarawak pula mencatatkan nilai Rt terendah iaitu 0.75.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 7:33 PM