GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Seorang kakitangan sebuah hotel di Kundasang yang dijangkiti Covid-19 mencetuskan satu kluster baharu, Kluster Jalan Kem Bina sehingga mencatatkan sebanyak 40 kes, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, kluster berkaitan tempat kerja itu dikenal pasti oleh pihaknya di daerah Ranau.

"Kes indeks adalah lelaki tempatan berusia 59 tahun dan kakitangan hotel terbabit yang dikesan positif melalui saringan bergejala di Hospital Ranau pada 23 Disember lalu.

"Saringan terhadap 70 kontak rapat, rakan sekerja serta keluarga mendapati 39 lagi kes positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 40 kes, termasuk enam kes baharu yang dilaporkan pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian Covid-19 hari ini kekal mencatatkan sebanyak tiga angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 161 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 241,122 kes.

"Dua kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing- masing mencatatkan satu kes di Kota Kinabalu dan Papar.

"Bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 217 menjadikan jumlah kumulatif 234,007 orang.

"Manakala 673 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 359 orang di hospital, 313 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan seorang di fasiliti swasta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 11:22 PM