KON Yeow pada sidang media hari ini. FOTO Mikail Ong
KON Yeow pada sidang media hari ini. FOTO Mikail Ong
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang bersedia untuk ke mahkamah berhubung tuntutan caj air mentah oleh kerajaan Kedah yang dilaporkan bertindak melantik panel peguam bagi isu berkenaan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, pihaknya sudah menjangkakan perkara berkenaan akan berlaku dan kini menunggu keputusan dari Kedah untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, Pulau Pinang memang menunggu kerana tindakan bercakap di luar tidak mendatangkan sebarang manfaat.

"Kita sebenarnya menunggu (tindakan mahkamah) sebab cakap di luar pun tak bermanfaat kepada sesiapa pun. Kalau benar-benar mahu isu ini diselesaikan biar sampai ke mahkamah.

"Perkara seperti ini (naik mahkamah) tidak pernah dilakukan tetapi terpulang kepada Kedah," katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan kedah melantik panel peguam bagi isu caj air mentah di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir merasmikan Majlis Pengiktirafan Dan Anugerah Warisan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI).

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pihaknya pada masa ini tidak melantik mana-mana peguam untuk mengendalikan kes terbabit.

Kita hanya menyerahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow turut mengulangi pendirian kerajaan Pulau Pinang untuk merujuk isu itu kepada hak riparian atau hak pemilik tanah di tebing sungai untuk menikmati manfaat sumber semula jadi terbabit sebagaimana diiktiraf peringkat konvensyen antarabangsa.

Beberapa media tempatan pada Sabtu lalu melaporkan kerajaan Kedah sudah melantik panel peguam bagi untuk menguruskan tuntutan caj air mentah diambil Pulau Pinang melalui Sungai Muda.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, tindakan itu diambil bagi menunjukkan kerajaan negeri sangat serius dalam isu itu selepas sekian lama permintaan tidak diendahkan Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 2:23 PM