ANGGOTA bomba menyelamatkan warga emas lelaki terlantar selepas rumah dinaiki air. FOTO Ahmad Ismail.
ANGGOTA bomba menyelamatkan warga emas lelaki terlantar selepas rumah dinaiki air. FOTO Ahmad Ismail.
Ahmad Ismail


Segamat: Seorang warga emas terlantar diselamatkan pasukan bomba selepas rumahnya di Kampung Paya Dalam, di sini, dinaiki air sehingga 0.2 meter, malam tadi.

Komander Operasi, Ishak Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada jiran mangsa pada 8.27 malam yang meminta bantuan membawa keluar Hussin Abdul Jalil, 81, ke kawasan selamat.

Katanya, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat dibantu BBP Segamat dikejarkan ke lokasi berkenaan.

"Disebabkan mangsa uzur dan terlantar, pihak keluarga serta penduduk berdepan kesukaran untuk memindahkan warga emas terbabit.

"Bimbang keadaan semakin meruncing, kita memindahkannya menggunakan kenderaan EMRS ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Paya Dalam," katanya ketika dihubungi di sini.

Ishak berkata, hujan lebat berlarutan selama tiga hari ini menyebabkan halaman rumah keluarga berkenaan dinaiki air.

Operasi ditamatkan pada 9.06 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 10:52 AM