SUKARELAWAN BERNAMA menyantuni keluarga yang terjejas banjir selepas menyerahkan sumbangan wang tunai dan kelengkapan rumah pada  Program Bantu Hingga Selesai (BAHIS) Kampung Labohan Dagang Banting, Selangor, 31 Disember lalu. FOTO Berbnama.
SUKARELAWAN BERNAMA menyantuni keluarga yang terjejas banjir selepas menyerahkan sumbangan wang tunai dan kelengkapan rumah pada Program Bantu Hingga Selesai (BAHIS) Kampung Labohan Dagang Banting, Selangor, 31 Disember lalu. FOTO Berbnama.
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Sukarelawan dan individu yang terbabit dengan kerja pasca banjir diminta mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan alat pelindung diri seperti but, pelitup muka dan sarung tangan getah ketika melakukan pembersihan banjir lumpur.

Pensyarah Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Nik Rosmawati Nik Husain berkata, ia bertujuan mengelak penyakit berjangkit merebak.

"Paling penting dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami demam, cirit birit, muntah dan sebagainya," katanya dalam kenyataan di sini.

Dr Nik Rosmawati berkata, banjir adalah bencana alam yang tidak dapat dielakkan apabila tiba musim tengkujuh sehingga menyebabkan kehilangan harta benda dan risiko kematian selain penularan penyakit berjangkit.

Katanya, kesan paling buruk adalah kesihatan mangsa banjir disebabkan penyakit berjangkit mudah merebak ketika dan selepas bencana melanda.

Menurutnya, banjir yang berlaku menyebabkan sampah sarap dan takungan air najis keluar bersama-sama limpahan air dan bertaburan di merata-rata tempat sehingga mengakibatkan pelbagai jenis penyakit.

"Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak ketika dan selepas banjir adalah jangkitan pernafasan akut, sakit mata, leptospirosis, meliodosis, cirit-birit, hepatitis A, taun atau kolera, demam kepialu, keracunan makanan, demam denggi, jangkitan kulit, demam campak, penyakit kaki tangan dan mulut (HMFD), malaria serta cacar.

"Selain itu, gejala penyakit bawaan air atau makanan yang kerap berlaku ketika dan selepas banjir adalah seperti cirit-birit, muntah, demam, sakit perut dan sakit kepala kerana penyakit ini berjangkit melalui minuman atau makanan yang dicemari oleh kuman dan mudah berjangkit serta merbahaya," katanya.

Beliau berkata, penyakit leptospirosis juga boleh berjangkit kepada mangsa banjir yang terdedah atau bersentuhan secara langsung dengan air yang dicemari oleh air kencing haiwan mamalia berkaki empat seperti tikus, kucing, anjing, lembu dan sebagainya yang telah dijangkiti oleh bakteria Leptospira.

"Antara simptom penyakit leptospirosis ialah demam, sakit kepala, loya, muntah, sakit otot, kemerahan pada mata, sakit pada abdomen, jaundis dan air kencing berwarna kehitaman.

"Bagi mengelak penyakit ini, beberapa langkah pencegahan perlu diamalkan antaranya memastikan kebersihan persekitaran rumah, tutup dan tudung makanan supaya dihindari tikus, sentiasa mencuci tangan dan menjaga kebersihan diri, jangan bermain air banjir dan lopak air terutamanya selepas banjir.

"Selain itu, cuci dan balut sebarang luka yang terdapat pada anggota badan dengan sempurna supaya tidak terdedah kepada air banjir," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Nik Rosmawati berkata, dalam masa sama, keadaan banjir yang berlaku pada ketika ini masyarakat dinasihatkan supaya menggunakan sumber air yang bersih dan selamat.

"Selain itu, kerap mencuci tangan dengan menggunakan sabun dan air yang bersih, minum air yang dimasak sempurna atau yang telah dibotolkan, makan makanan yang baru dimasak dan panas, kupas kulit buah-buahan sebelum dimakan, elak dari makan sayur-sayuran mentah dan menggunakan air yang bersih ketika membasuh peralatan penyediaan makanan dan minuman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 12:41 PM