SEBAHAGIAN jemaah umrah yang tiba di KLIA, 26 Disember lalu. FOTO Aswadi Alias.
SEBAHAGIAN jemaah umrah yang tiba di KLIA, 26 Disember lalu. FOTO Aswadi Alias.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta jemaah yang sedang menjalankan umrah dan akan berlepas ke Tanah Suci sehingga 7 Januari supaya mematuhi beberapa perkara.

Ini termasuk melakukan ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR dua hari sebelum tarikh berlepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu, jemaah juga diminta melakukan ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR pada hari ketibaan serta menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian selama tujuh hari di stesen kuarantin berkuat kuasa 3 Januari ini.

"Sekiranya bergejala, lakukan ujian pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK-Ag dan melakukan ujian pengesanan Covid-19 RT-PCR pada hari kelima," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, jemaah umrah diberi pelepasan daripada perintah pengawasan dan pemantauan pada hari kelapan, sekiranya tiada lanjutan kuarantin dan keputusan ujian Covid-19 RT-PCR pada hari kelima adalah negatif.

Terdahulu, kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari berikutan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah umrah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berdasarkan penilaian risiko situasi varian Omicron di dalam dan luar negara, khususnya di Arab Saudi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 7:21 PM