RAKAMAN gambar dari udara berkenaan situasi semasa banjir yang melanda sekitar Pengkalan, Alor Gajah. FOTO BERNAMA
RAKAMAN gambar dari udara berkenaan situasi semasa banjir yang melanda sekitar Pengkalan, Alor Gajah. FOTO BERNAMA
Nuraliawati Sabri

Melaka: Mangsa banjir di Melaka terus meningkat apabila merekodkan seramai 507 orang petang ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, sehingga jam 4 petang ini, 134 keluarga di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah terjejas selepas kediaman mereka dinaiki air.

Beliau berkata, berbanding jam 12 tengah hari tadi hanya 382 mangsa daripada 100 keluarga dilaporkan terjejas namun angka itu meningkat petang ini.

"Sehingga petang ini sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka ia membabitkan tujuh di Alor Gajah dan satu di Melaka Tengah.

"507 orang itu hanya membabitkan mangsa di daerah Alor Gajah manakala mangsa banjir di Melaka Tengah dalam proses pendaftaran masuk ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong," katanya.

Menurut beliau, akibat hujan berterusan semalam, sebanyak 11 kawasan dilaporkan terjejas.

"Kawasan yang terjejas bagi daerah Alor Gajah adalah di Kampung Gadek Dalam, Taman Seri Bayu, Pengkalan, Kampung Panchor, Kampung Beringin dan Kampung Sungai Siput.

"Empat lagi kawasan yang terjejas adalah di Lubok China, Kampung Jeram, Kampung Belimbing dan juga Kampung Pulau," katanya.

Katanya, di Melaka Tengah pula, hanya satu kawasan dilaporkan terjejas iaitu di Kampung Lanjut Manis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 6:09 PM