ISMAIL Sabri ketika berucap sempena tahun baharu 2022.
ISMAIL Sabri ketika berucap sempena tahun baharu 2022.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Memasuki 2022, kerajaan optimis untuk merancakkan pemulihan ekonomi negara menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Bajet 2022.

Ia termasuk tumpuan terhadap mewujudkan sekurang-kurangnya 600,000 peluang pekerjaan baharu di samping pemulihan segera sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 2022 juga tahun untuk Malaysia kembali ke landasan bagi menetapkan pelan ekonomi jangka masa panjang, dengan tema mustahak perlu digerakkan, antaranya pemerkasaan ekonomi digital sejajar dengan tuntutan realiti semasa.

"Transformasi ke arah ekonomi dan masyarakat yang cakna terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) memerlukan peralihan dalam pelbagai aspek pengurusan, pentadbiran dan kerangka minda dalam pembuatan dasar.

"Misalnya, dalam soal peluang pekerjaan yang bakal dijana, Malaysia perlu bersedia untuk mewujudkan satu ekosistem yang mampu menjana aktiviti dan pasaran pekerjaan yang selari dengan tuntutan dan keperluan ke arah ekonomi dan masyarakat yang mesra ESG.

"Ini merupakan antara inisiatif yang saya anggap penting mengambil inspirasi suara anak-anak muda Keluarga Malaysia untuk kita mewariskan sebuah negara lestari kepada generasi akan datang," katanya dalam dalam perutusan khas sempena Tahun Baharu 2022, hari ini.

Ismail Sabri berkata, sistem pendidikan negara akan disesuaikan agar lebih menjurus kepada aspek ESG, yang mana kurikulum Pendidikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khususnya perlu ditambah baik untuk memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan.

Begitupun katanya, aspirasi ESG memerlukan keberanian pihak kerajaan untuk mewujudkan rangka dasar dan insentif yang lebih kondusif.

"Sebab itulah antara insentif yang membuktikan kerajaan komited dengan agenda ini ialah pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais, cukai jualan malahan cukai jalan bagi kenderaan elektrik," katanya.

Terdahulu beliau berkongsi kejayaan Malaysia mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak tiga peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021, walaupun berdepan penularan virus Covid-19.

Menurutnya, buat pertama kali juga jumlah perdagangan mencecah RM2 trillion selepas berkembang 24.6 peratus bagi tempoh Januari hingga November 2021 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

"Angka pelaburan sering menjadi petunjuk popular keyakinan komuniti perniagaan terhadap keutuhan ekonomi sesebuah negara. Malaysia mencatatkan perkembangan positif RM12.8 bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada suku ketiga 2021 berbanding RM8.2 bilion pada suku kedua, iaitu peningkatan sebanyak 56 peratus.

"Ini menjadikan jumlah FDI bersih bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak lebih RM30 bilion.

"Saya juga yakin, dengan momentum pertumbuhan ekonomi negara dijangka berterusan pada tahun 2022 dengan kadar pertumbuhan KDNK yang diunjurkan berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus seiring dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 6 peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 9:22 PM