PENDUDUK, Azie Norizah Husin, 49, membersihkan peralatan rumah selepas banjir melanda Kampung Sungai Lui, Batu 18, Hulu Langat. FOTO AZHAR RAMLI
PENDUDUK, Azie Norizah Husin, 49, membersihkan peralatan rumah selepas banjir melanda Kampung Sungai Lui, Batu 18, Hulu Langat. FOTO AZHAR RAMLI
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Sukarelawan yang membantu mangsa banjir dinasihatkan supaya berhati-hati dan menjaga diri bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit berjangkit.

Selain virus Covid-19, penyakit Leptospirosis atau kencing tikus antara penyakit kerap berlaku selepas banjir.

Pegawai Latihan, Akademi Bomba Wilayah Timur, Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Zulkifli Che Noh berkata, risiko paling besar bagi anggota penyelamat dalam operasi selain lemas adalah penyakit berjangkit.

Beliau berkata, selain berdepan dengan Covid-19, anggota penyelamat turut berdepan dengan penyakit kencing tikus yang boleh menyebabkan kematian.

"Penyakit ini disebarkan melalui kencing dan kotoran tikus yang larut dalam genangan air, banjir atau lumpur.

"Adalah amat penting bagi sukarelawan yang terbabit dalam kerja di lapangan seperti membersih rumah supaya memakai pakaian lengkap seperti berkasut getah dan bersarung tangan.

"Dalam keadaan persekitaran kotor, ambillah langkah penjagaan sewajarnya bagi memastikan diri dilindungi," katanya.

Zulkifli berkata, niat murni membantu penduduk terjejas selepas banjir tidak sepatutnya menjadi musibah kepada sukarelawan pula.

Beliau berkata, individu tidak sihat atau baru sembuh daripada sakit dinasihatkan supaya tidak menyertai misi sebagai sukarelawan atau turun ke lapangan.

"Amalkan membasuh tangan dan muka dengan bersih sebelum menjamah makanan atau minuman.

"Jika berasa badan kurang sihat selepas menjalankan misi bantuan, segera dapatkan rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 12:53 PM