GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Hanya 6.67 peratus atau 14,734 orang daripada 220,800 orang bekerja sendiri di seluruh Kedah mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Kedah, Mohamad Haron Othman berkata, keadaan itu berlaku berikutan masih kurang kesedaran mengenai kepentingan dan manfaat mencarum dengan pertubuhan itu.

"Setakat ini hanya 6.67 peratus iaitu 14,734 orang yang bekerja sendiri di semua sektor mencarum dengan Perkeso.

"Memang ada yang tidak nampak manfaat mencarum tetapi bila kita jatuh sakit secara tiba-tiba kita akan nampak kepentingan mencarum.

"Kepada yang berhasrat untuk mencarum boleh datang ke pejabat Perkeso atau membuat pendaftaran secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Janji Selamat Kekal Selamat di Sektor Perikanan bersama nelayan Kuala Kedah di Kompleks LKIM di Kubang Rotan di sini, hari ini.

Hadir merasmikan program itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Azman Nasrudin.

Mohamad Haron berkata, pihaknya mensasarkan 30 peratus lagi pekerja sendiri akan mencarum dengan pertubuhan itu menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) tahun hadapan.

Dalam perkembangan berkaitan, Azman berkata, seramai 2,521 atau hampir 100 peratus nelayan di Kedah mencarum dengan Perkeso di bawah perlindungan SKSPS.

Katanya, golongan terbabit mencarum secara automatik melalui potongan elaun sara hidup yang diterima.

"Kurang daripada 10 peratus lagi adalah nelayan yang mempunyai lesen tetapi tidak menerima elaun sara hidup. Jadi yang mana dapat elaun dia automatik mencarum, cuma yang kita tengah fokus sekarang yang tidak dapat elaun ini, supaya mereka mendaftar dengan Perkeso," katanya.

Azman berkata, pihaknya juga akan mencari mekanisma supaya semua pekerja sendiri dalam sektor pertanian dan perikanan dapat mencarum secara automatik.

"Untuk pesawah contohnya, kita boleh cadangkan supaya dibuat pemotongan secara automatik melalui subsidi padi.

"Kita akan adakan satu perbincangan bersama pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) untuk merealisasikan hasrat itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 7:20 PM