GAMBAR hiasan. Kanak-kanak lelaki menyusun daun bawang di resotran di Sanaa, Yemen, semalam. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. Kanak-kanak lelaki menyusun daun bawang di resotran di Sanaa, Yemen, semalam. FOTO AFP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa kerjasama peringkat antarabangsa diadakan bagi mengawal inflasi harga makanan global.

Dalam ucaptama beliau pada Forum Ekonomi China Sedunia 2021 anjuran Institut Strategi Antarabangsa (ISI), beliau berkata, dunia sedang mengalami impak besar akibat Covid-19 dan banyak nyawa terkorban, harga saham menjunam serta gangguan terhadap rantaian bekalan.

Menurutnya, dunia menderita kesan pasca pandemik berikutan permintaan semakin lemah dan sumber bekalan yang tidak menentu.

Katanya, penduduk di seluruh dunia terkesan dalam aspek pendapatan, wang simpanan dan mata pencarian yang semakin berkurangan ekoran penutupan sempadan berbulan lamanya sekaligus menghalang mereka mencari pendapatan.

"Apabila ekonomi dibuka semula, mereka berhadapan dengan kenaikan harga makanan yang melonjak secara mendadak.

"Akibatnya dompet rakyat terkesan. Mereka akan merungut apabila perut atau keluarga mereka menjadi mangsa. Ia adalah soal hidup dan mati ibarat kata pepatah Melayu, sudah jatuh ditimpa tangga," katanya tadi.

Najib menggesa dunia untuk bersama-sama mewujudkan infrastruktur vaksinasi global, kerana

vaksinasi mega adalah satu-satunya cara untuk mengawal pandemik dan menghadkan kesan kepada ekonomi dunia.

"Kita mesti bangunkan struktur pelbagai bagi memastikan perjalanan vaksin dari makmal kepada ramai penduduk dapat dilakukan dalam tempoh lebih singkat.

"Saya menyeru negara-negara di seluruh dunia untuk mula melabur di Malaysia dan ASEAN sebagai hab serantau bagi membolehkan rantau ini mengeluarkan vaksin secara kendiri dan impaknya pandemik dapat ditangani oleh negara ASEAN dengan lebih efektif.

"Saya percaya dunia harus memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas sedia ada seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) supaya peluang dalam perjanjian itu boleh digunakan untuk menurunkan tarif dan kos operasi dalam perniagaan terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana yang menjadi tulang belakang ekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 5:19 PM