DADAH, kereta dan kunci yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis.
DADAH, kereta dan kunci yang dirampas polis. FOTO Ihsan Polis.
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Cubaan lelaki dipercayai pengedar dadah menyorokkan barang larangan itu di hutan gagal selepas dikesan polis, semalam.

Dalam kejadian di Kampung Perah Slow Machang di sini, pada 6.45 petang polis menemui 324 pil kuda, 87.5 gram heroin dan satu gram syabu bernilai keseluruhan RM33,260.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, sebelum itu, anggota melihat Proton Wira diletakkan di hadapan sebuah rumah tanpa nombor dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan mendapati ia berkunci namun, anggota terdengar bunyi pergerakan di kawasan hutan di hadapan rumah itu berjarak antara 20 ke 30 meter.

"Pemeriksaan ke arah bunyi segera dibuat dan menemui dadah di atas tanah dan beg silang dipercayai milik suspek yang tertinggal.

"Di dalam beg itu terdapat kad pengenalan lelaki berusia 45 tahun, dua telefon bimbit, pelbagai jenis kad bank, serangkai kunci dan wang tunai RM87," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata, pihaknya kemudian menyerbu rumah mengikut alamat dalam kad pengenalan itu namun tiada penghuni.

"Barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi siasatan mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Semakan ke atas lelaki itu mendapati dia mempunyai tujuh rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah dan kali terakhir diberkas pada 16 Mei 2019," katanya.

Menurutnya, usaha mengesannya sedang giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 10:47 AM