ANGGOTA bomba membawa mangsa banjir ke PPS Sekolah Kebangsaan Temai, Pekan dan tingkat satu sekolah itu sudah dinaiki air dan trend air menaik berikutan limpahan Sungai Pahang. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
ANGGOTA bomba membawa mangsa banjir ke PPS Sekolah Kebangsaan Temai, Pekan dan tingkat satu sekolah itu sudah dinaiki air dan trend air menaik berikutan limpahan Sungai Pahang. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
BERNAMA

Kuantan: Pekerja ladang, Che Rustam Che Su yang dilaporkan hilang selepas didakwa terjatuh daripada motosikalnya semasa meredah air di ladang kelapa sawit Felda Chini 2, Pekan, hari ini, ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat lemas, petang ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, Che Rustam, 36, ditemukan tidak jauh dari lokasi dia dikatakan terjatuh semasa meredah air melimpah setinggi lima meter di laluan rendah di ladang itu pada 3.40 petang hari ini.

Beliau berkata, mangsa dikatakan ke ladang itu pada 9 pagi bersama bapa dan abangnya dengan menunggang motosikal berasingan bagi mengambil buah kelapa sawit.

"Abang mangsa mendakwa melihat mangsa tenggelam dan terkapai-kapai selepas terjatuh kerana difahamkan dia tidak pandai berenang.

"Kejadian dipercayai berlaku kerana mangsa tidak menyangka laluan itu dinaiki air agak dalam kesan daripada hujan sejak beberapa hari lalu," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

Beliau berkata, selain polis, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut membabitkan bomba termasuk Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan.

Susulan penemuan itu, mangsa adalah mangsa ke-12 yang meninggal dunia sejak banjir melanda Pahang, beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 7:08 PM